Selasa, 4 Oktober 2011

membangun ekonomi Islam

Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa Nabi Muhamad s.a.w diutuskan sebagai rahmat bagi semesta alam sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Anbiya ayat 107. Bagaimanapun, salah satu penyakit umat Islam yang menghalang bagi mencapai rahmat itu ialah kemiskinan dan kebodohan.
Di negara kita, umat Islam mewakili 60 peratus daripada penduduk tetapi mereka hanya menguasai 20 peratus sahaja daripada kekayaan negara. Majoriti umat Islam pada hari ini hanya sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Persoalan besar timbul ialah bagaimana umat Islam terkebelakang dalam pencapaian ekonomi sehingga kemiskinan itu serasi dalam kehidupan umat Islam?
Pembangunan ekonomi adalah asas utama kepada keutuhan sesebuah negara. Oleh hal yang demikian, Islam juga sangat menganjurkan umatnya supaya membangunkan ekonomi dan meningkatkan taraf kehidupan ke arah yang lebih maju dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan pembangunan dari aspek keperibadian dan akhlak.
Kita percaya bahawa kesan daripada rezeki yang diusahakan mengikut acuan syariah dan tadbir urus berdasarkan perundangan Allah s.w.t akan mendapat keberkatan dan limpahan rezeki dan kurnian daripada Allah s.w.t.
Kegiatan ekonomi adalah merupakan suatu fardu kifayah ke atas setiap Muslim sepertimana sabda Rasulullah s.a.w, daripada Zubair bin al-Awwam r.a, yang bermaksud:
Sesungguhnya seorang daripada kamu membawa seutas talinya dan pergi ke bukit lalu pulang dengan membawa seberkas kayu di atas bahunya. Kemudian ia menjualkannya, maka Allah akan memelihara kehormatannya, dan itu lebih baik baginya daripada ia meminta-minta manusia yang kadang-kadang diberi atau ditolak.”
Dalam usaha untuk melonjakkan imej umat Islam maka dituntut umatnya berkerja bersungguh-sungguh untuk meningkatkan ekonomi dan kekayaan negara sejajar dengan tuntutan  meningkatkan kualiti  dan kesejahteraan hidup.
Agama Islam amat menganjurkan umatnya supaya berusaha dalam mencapai kebahagian kehidupan dengan cara yang selari menurut syariah dan meninggalkan segala yang bertentangan dengan ajarannya.
Maka hasilnya, kita dapati pada akhir-akhir ini, sistem kewangan dan pengeluaran produk halal (Halalan Thoiyiban) yang berlandaskan Islam telah mendapat perhatian dan pilihan masyarakat. 

Umat Islam perlu sedar bahawa untuk memantapkan dan mengukuhkan ekonomi umat Islam adalah tidak  mudah. Walaupun kebanyakkan negara-negara Islam kaya dengan sumber galian dan khazanah alam yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t, kita lemah dalam memanafaatkan anugerah Allah s.w.t tersebut.
Justeru umat Islam perlu mengambil kesempatan ini dengan tidak lagi bergantung kepada  sistem kapitalis dan sosialis yang bersifat tidak seimbang.
Sistem ekonomi kapitalis menyebabkan kekayaan dikendalikan atau dikuasai hanya oleh segelintir pihak sahaja atau dapat dikatakan yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana dan terus berada dalam kepompong kemiskinan.
Dalam konflik yang sedemikian rupa, pastinya menjadikan implikasi negatif kerana menimbulkan banyak permasalahan yang rumit bagi masyarakat yang berada dalam penindasan dan kezaliman dimana mereka yang miskin akan terus dikalahkan oleh kelompok kaya yang menguasai sumber daya ekonomi lebih banyak.

Sheikh al-Imam Dr. Yusof al-Qardhawi pernah berkata bahawa: ”Kekuatan ekonomi Islam kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan paling subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya.
”Malangnya kita menyalahgunakan kekayaan, tidak berani berusaha di bumi sendiri dalam menghasilkan keluaran dari galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita.
”Maka jadilah kita dalam banyak keadaan adalah sebagai pengguna bukannya pengeluar, pengimport bukan pengilang atau pengeksport. Kadangkala kita menghasilkan produk yang tidak diperlukan dan tidak dapat dipasarkan.
”Dalam masa yang sama kita mengabaikan dalam menghasilkan barang atau produk yang sangat kita perlukan dan mempunyai permintaan yang tinggi. Kita sangat berbangga memiliki kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu pun untuk mengeluarkan basikal sebagai produk buatan sendiri.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 
Powered by Blogger